Sazzy Bangga Susukan Imaan dan Tiara
Tatapan mata seorang ibu terhadap sepasang anak kembarnya menggambarkan betapa puasnya hati dapat melahirkan dan menyusukan zuriat tersayang sepenuhnya. Ikuti perjalanan hidup selebriti genit Sazzy Falak selepas bergelar ibu.
Si comel yang diberi nama Imaan Lily dan Tiara Rose bertuah kerana dikurniakan ibu dan ayah yang amat menyayangi mereka sepenuh hati. Kehadiran mereka memang tepat pada masa apabila Sazzy dan Nazril sememangnya sedang mendambakan kelahiran anak.
Menurut cerita Sazzy, kenangan saat mengetahui dirinya hamil amat mengujakan sekali. Apabila terlewat datang bulan, Sazzy mulai resah tetapi tidak mahu menyimpan angan-angan yang dirinya sedang hamil. Untuk meredakan kegusaran hati, dia menjalani ujian darah seperti disarankan oleh doktor sakit puannya.
“Malam tersebut iaitu raya kedua tahun lepas, doktor menelefon suami saya dan memberitahu keputusan positif saya hamil. Paling memeranjatkan bila doktor beritahu dapat kesan kemungkinan besar mengandung bayi kembar sebab buat ujian darah,” cerita pelakon drama Gol & Gincu yang tergelak mengingatkan riak wajah Nazril tatkala menerima panggilan telefon daripada doktor saat tersebut.
Menurut Sazzy sebelum ini dia memang selalu berangan untuk mendapat anak kembar tapi tidak menyangka akan memilikinya sebagai cahaya mata pertama. Namun kelahiran kembar bukan perkara luar biasa bagi keluarga Nazril kerana ibunya juga lahir sebagai anak kembar selain punya beberapa orang saudara lain yang lahir kembar.
Gemar Makanan CinaSaat melihat janin yang dikandung berada dalam dua kantung yang berbeza semasa ujian imbasan dilakukan, Sazzy berasa terharu dan gembira.
Tetapi memegang pada petua orang-orang tua agar jangan terlalu gembira dan memberitahu tentang kehamilan yang masih awal pada semua orang, Sazzy awalnya hanya berkongsi kegembiraan dengan ahli keluarga terdekat sahaja.
Pengalaman melalui fasa kehamilan pada trimester pertama amat memenatkan. Rasa penat dan letih menjadi penyakit baru bagi wanita yang sebelum ini terkenal ligat dan bertenaga.
“Tiga bulan pertama, saya memang sickness teruk. Paling tak boleh tahan bila terbau tumisan bawang semasa orang masak. Mood ok cuma rasa penat saja. Rasa nak muntah tapi tak boleh muntah.
Sebelum ini saya penggemar makanan berempah seperti kari tapi bila mengandung terus tak lalu. Tiba-tiba selera lebih kepada makanan cina dan steambot,” cerita pemilik syarikat pengurusan dan penjenamaan artis SinclairFalak Sdn Bhd mengenai pengalaman sebelum bergelar ibu.
Takut DibedahKenangan melahirkan kembar secara pembedahan caesarean memang tidak dapat dilupakan oleh Sazzy. Awalnya dia mahu melahirkan bayi secara normal tetapi atas nasihat doktor kerana kedudukan Tiara yang songsang, dia terpaksa akur perlu melahirkan secara pembedahan.
Tarikh 28 April dipilih kerana ia merupakan tarikh hari lahir suami tercinta. Ujarnya, perasaan sebagai bakal ibu yang sudah mengetahui dirinya bakal dibedah untuk melahirkan anak amat menakutkan.
“Memang rasa tak sabar nak menatap wajah anak-anak tapi dalam masa yang sama saya rasa takut. Seminggu sebelum tarikh tersebut, hati berdebar-debar dan panik. Serba tak kena jadinya.
Tapi bila pembedahan bermula dan Imaan selamat dilahirkan, sedikit demi sedikit rasa takut dan risau mulai hilang. Bila melihat wajah Tiara yang tersangkut kepalanya sementara kaki dan tangan sudah keluar, barulah saya betul-betul lega,” ceritanya sambil tersenyum manis mengenang saat rasmi bergelar ibu.
Dengan jumlah berat kedua-dua kembar tersebut sebanyak 4 kg membuatkan berat badan Sazzy naik sehingga 58 kg pada akhir kehamilan. Namun pengacara genit ini bertuah kerana bentuk badannya kembali ke asal selepas empat bulan menjadi ibu. Semuanya kerana kehebatan menyusukan anak dengan susu ibu.
Penat Tapi PuasSejak awal kehamilan lagi, Sazzy sudah merancang untuk menyusukan anak-anak kembarnya secara eksklusif.
Apatah lagi dirinya juga dikelilingi oleh rakan-rakan selebriti yang turut menyokong penyusuan susu ibu seperti rakan niaganya Aishah Sinclair.
Melihat sendiri stok susu perahan yang memenuhi peti sejuk besar di kediamannya, memang benarlah dia serius dalam bab menyusukan anak.
Pengalaman dilalui sejak hari pertama hingga kini menyusukan anak kembar sememangnya diakui tugas mencabar. Penat dan letih menjadi perkara biasa dalam hidup Sazzy sejak menggalas tugas sebagai ibu.
Namun dia puas dapat memberikan makanan awal terbaik untuk si kembar kesayangan keluarga. Rasa berbaloi melaburkan sejumlah wang yang besar untuk membeli pam payu dara terbaik di pasaran.
Jika boleh menurut Sazzy, dia mahu menyusukan Imaan dan Tiara sehingga dua tahun tetapi jika tidak dapat, tempoh setahun lebih pun sudah memadai.
Baginya tiada alasan dari seorang ibu untuk tidak memberikan susu ibu kepada anak mereka. Yang penting ibu harus bijak mengatur masa dan dapatkan sokongan daripada ibu-ibu lain yang turut menyusukan anak sebagai motivasi.
Apa yang diharapkan sokongan dan dorongan daripada suami dan keluarga akan berterusan bagi menjayakan penyusuan secara eksklusif.
Pengorbanan Untuk KembarTempias dari mummy dan daddy yang bergelar selebriti turut terkena pada Imaan dan Tiara. Kelahiran mereka membuka rezeki kepada si ibu yang bertuah dilantik menjadi jurucakap kepada bank sel stem, Cyrocord.
Sebenarnya sejak awal lagi, Sazzy sudah merancang untuk melakukan penyimpanan sel stem bayi di bank sel stem. Kemudian Sharifah Sofea yang telah melakukannya mencadangkan Cyrocord kepada Sazzy.
“Tujuan saya melakukan penyimpanan sel stem ini adalah untuk masa hadapan. Jika berlaku sebarang masalah kesihatan, kami sudah ada persediaan dan bagusnya ia bukan setakat untuk anak-anak tetapi untuk saya, suami dan ahli keluarga lain yang memiliki darah jenis yang sepadan,” ucapnya bersyukur kerana Cyrocord telah merealisasikan impiannya.
Sejak kelahiran Imaan dan Tiara, kehidupan seharian Sazzy dan Nazril banyak berubah malah dia akui barulah memahami bukan mudah melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu.
“Menjaga anak-anak sendiri memang menyeronokkan tapi tidak mudah untuk menguruskan anak apatah lagi kembar. Saya perlu bijak menguruskan jadual kerja sebagai artis, pengacara, usahawan dan ibu. Memang tidak mudah dan memenatkan tapi saya puas. Apa yang saya lakukan ini adalah pengorbanan saya kepada Imaan dan Tiara,” ujar Sazzy yang tetap meneruskan kerjaya seninya biarpun sudah punya cahaya mata.
sumber dari: Abang Nara dan Majalah Pa&Ma
No comments:
Post a Comment