Klik Jangan Tak Klik

Saturday, June 25, 2011

'Imam Muda 2' : Nazrul & Hassan Mara Ke Final


Imam Muda Hassan (kanan) dan Nazrul layak ke peringkat akhir program Imam Muda musim kedua.


KUALA LUMPUR: Dua peserta program Imam Muda musim kedua, Nazrul Izwan Zolkiflee (Nazrul), 26, dan Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza (Hassan), 26, berjaya mara ke peringkat akhir program tersebut pada 1 Julai ini.
Imam Muda 2 peringkat akhir akan disiarkan secara langsung dari Dewan Muktamar, Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, di sini pukul 9 malam.
Sementara itu, tiga peserta iaitu Mohd Fakhrurrazi Hussin (Fakhrul), 27, Ammar Wan Harun (Amar), 27, dan Mohd Azlan Zulkarnain (Azlan), 25, tersingkir di minggu kesembilan pada Jumaat.
Menurut mudir (pengetua) Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz, pemilihan Nazrul dan Hassan atas kerja keras dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang program ini berlangsung.
“Mereka mempunyai kelebihan ilmu dan latar belakang agama yang menunjukkan mereka sentiasa berada di kemuncak sepanjang tiga bulan ini.
“Mereka juga mudah menerima arahan tidak mengira waktu dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas serta cabaran yang diberikan,” kata Hassan yang lebih mesra disapa ustaz ini.
Selain itu, kedua-duanya mempunyai kebolehan tambahan seperti pandai berlagu dan penuh irama apabila diuji membacakan ayat-ayat al-Quran dalam peperiksaan yang diberikan.
Pada peringkat akhir ini, mereka akan diberikan tugasan praktikal pulang ke kampung masing-masing dan mengendalikan projek sendiri yang mendatangkan manfaat kepada semua pihak.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, kedua-dua finalis itu akan melakukan perancangan idea dengan bantuan lapan peserta Imam Muda yang telah tersingkir.
“Mereka akan mencari dana sendiri untuk melakukan projek ini dan melihat sama ada komuniti membantu atau tidak. Jika mendapat sambutan, maknanya projek mereka berjaya.
“Kita juga akan meletakkan ‘wayang pacak’ di kedua-dua kampung finalis ini untuk menyaksikan lintas langsung peringkat akhir Imam Muda,” ujar Izelan.
Sementara itu, finalis Nazrul seakan-akan tidak percaya dengan kejayaannya melangkah ke peringkat akhir.
“Saya terima dengan reda dan yakin segala-galanya mempunyai hikmah. Saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin.
“Sepanjang sembilan minggu, program ini banyak mengajar saya tentang kepentingan memiliki ilmu dan perlu sentiasa menambah ilmu sampai bila-bila,” ujarnya yang bakal pulang ke kampungnya di Felda Moakil, Labis, Johor.
Dalam pada itu, seorang lagi finalis Hassan sedikit fobia sebelum pengumuman itu dilakukan kerana dia pernah tersingkir dalam program Akademi Al-Quran musim keempat.
“Saya takut tersingkir lagi. Bagaimanapun perasaan tersebut bertukar menjadi terkejut dan ajaib apabila diumumkan saya layak ke peringkat akhir. Saya terus terbayangkan wajah mak dan arwah ayah serta menganggap ia seperti hadiah buat mereka.
“Apabila sampai ke peringkat ini, saya rasa sangat bersyukur dan akan berjuang sehabis baik,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Wangi, Ayer Tawar, Perak.
Dia yang kehilangan bapa sewaktu usia tujuh tahun itu bercadang untuk melakukan gotong-royong membersihkan kubur arwah bapanya.
Juara akan menerima hadiah berupa biasiswa pakej platinum selama empat tahun di Universiti Al-Madinah, kereta, wang tunai RM30,000, pakej perabot, pakej haji dan umrah, pakej percutian, Macbook Apple, Ipad Apple, telefon bimbit, sijil pentauliahan dan trofi.
Naib juara bakal memenangi biasiswa pakej emas di universiti yang sama, wang tunai RM20,000, pakej perabot, pakej umrah, pakej percutian, Macbook Apple, Ipad Apple, telefon bimbit, sijil pentauliahan dan trofi.

sumber dari: sini

No comments:

Post a Comment